Khamis, 30 Mei 2013

PESTA KAAMATAN 'TADAU DO KAAMATAN'

PESTA KAAMATAN

Tadau Kaamatan atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi atau pesta menuai dan disambut di Sabah dan Labuan. Perayaan ini menandakan berakhirnya musim menuai dan permulaan musim bagi baru.

Kebiasaanya pesta ini disambut oleh kaum Kadazan dan Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik. Sungguhpun begitu Pesta Kaamatan juga disambut meriah oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan yang dirayakan sehingga ke hari ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei.

Kemuncak sambutan perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita"



Finalis Unduk Ngadau 2013

UNDUK NGADAU

Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun. Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun. Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang yang pertama mengajar Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang.

Semenjak itu perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun. Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau akan diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan.


SEMANGAT PADI

Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."

Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.



Sumber:
Jabatan Penerangan Malaysia
BLOG SUMBER GURU PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN SEKOLAH RENDAH
Wikipedia - Unduk Ngadau


Gambar:
Mummy Nemo

0 comments:

Catat Ulasan